picture

Tegakkanlah Rumah Tangga Muslim

Memperbaiki diri sendiri dan menyeru orang lain kepada Allah merupakan dua kewajipan asas di atas jalan dakwah dan wajib ke atas setiap muslim, lelaki dan wanita. Di samping dua
kewajipan itu timbul lagi satu kewajipan yang tidak kurang pentingnya iaitu menegakkan rumahtangga muslim. Individu muslim itu adalah seorang manusia akidah yang wajib disediakan
untuk menjadi muslim yang sejati, yang menjadi contoh Islam yang sahih dan teladan pemimpin
yang patut diikuti. Kita sangat memerlukan rumahtangga muslim yang menjadi contoh sebagai
tiang yang kuat di dalam pembangunan masyarakat Islam. Keluarga muslim mempunyai peranan
yang penting di dalam kekuatan dan perpaduan masyarakat atau perpecahan dan kemusnahannya.
Rumahtangga merupakan pangkuan atau sarang bagi tunas-tunas baharu yang dididik dan
dibentuk di peringkat pembentukan dan persediaan. Rumahtanggalah yang bertanggungjawab
mencetak dan membentuk keteguhan peribadi anak-anak yang akan mencorakkan hidup mereka,
benarlah Rasulullah s.a.w bersabda:
"Tiap anak itu dilahirkan di atas fitrahnya kejadian yang suci dan ibu bapanyalah yang
menjadikannya Yahudi atau menjadikannya Kristian ataupun menjadikannya Majusi".
Hadis Rasulullah s.a.w. mengenai pembangunan rumahtangga tidak dapat dibicarakan
hanya dengan satu atau dua artikel sahaja, tetapi kita perlu merujuk kepada buku-buku dan
karangan-karangan yang telah mengupas perkara yang penting itu. Cukuplah saya terangkan
sepintas lalu serba sedikit mengenainya supaya kita mendapat faedah daripadanya.
19.1 Pemilihan
Saudara muslim dan saudari muslimah yang mahu memperbaiki diri dan menyeru orang
lain kepada Allah wajib ke atas keduanya memilih pasangan masing-masing. Putera Islam mencari
puteri Islam untuk menjadi isterinya yang solehah. Puteri Islam mencari putera Islam untuk
menjadikan suaminya yang soleh untuk berkongsi kehidupan suami isteri.
Dari awal-awal lagi hendaklah mereka membangunkan keluarga muslim yang diasaskan di
atas dasar takwa. Saudara muslim yang sejati wajib mencari puteri Islam yang sejati dan memilih
yang beragama, yang memahami tugas dan risalahnya di dalam kehidupan ini. Menjadikan
pasangan hidupnya sebaik-baik penolong di atas jalan dakwah. Sentiasa mengingatkannya apabila
dia lupa, sentiasa memberi perangsang dan tidak menghalangnya. Memelihara dirinya di waktu
ketiadaannya walau berapa lama pun dan mendidik serta membentuk anak-anaknya menurut Islam
yang sebenar.
Demikian juga puteri Islam yang sejati, tidak wajar dan tidak patut menerima sebarang
jejaka untuk menjadi pasangan hidupnya kecuali seorang muslim yang sejati yang menjadi
pendokong dakwah Islam. Iaitu seorang penganut akidah yang sahih yang bertakwa kepada Allah.
Si isterinya pula dapat menolongnya untuk taat setia kepada Allah dan mencapai keredhaan Allah.
Dengan cara yang demikian kita telah berjaya membangunkan sebuah keluarga Islam yang akan
menjadi pusat dakwah dan jihad Islam. Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan kita kepadanya dengan
sabda baginda:
"Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya dan pangkatnya,
kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengambil wanita yang beragama supaya
kamu berbahagia".
Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w., tidak mengiktiraf wali yang menikahkan puterinya
dengan seorang lelaki yang tidak disukai oleh puterinya. Ini memberi peluang kepada puteri Islam
untuk memilih suami yang soleh.
19.2 Beriltizam dengan Batas-batas Islam
Kita mahu supaya undang-undang dan adab-adab Islam mampu mengawal dan menguasai
setiap tahap dan peringkat pembangunan rumahtangga muslim. Sama ada dari peringkat pinangan,
akad nikah, mempersiapkan rumahtangga sepasang suami isteri dan masa pengantin baru atau
berbulan madu mestilah jauh dari adat lapuk jahiliah yang rosak. Sama ada jahiliah lama atau baru,
yang bertentangan dengan syariat Allah Taala ataupun yang menjadi penghalang di jalan
perkahwinan yang kadang-kadang menghalang langsung untuk terlaksananya perkahwinan.
Mengapakah tidak dilaksanakan akad nikah itu di masjid? Di dalam udara yang bersih dan luas
yang jauh dari sikap menunjuk-nunjuk dan adat-adat buruk? Berbelanja berlebih-lebihan dan boros
yang bertentangan dengan syariat Islam? Cadangan itu adalah wajar. Akad nikah di dalam masjid
tidak digemari oleh manusia sebagaimana dulu mereka tidak menggemari fesyen pakaian Islam.
Tetapi kalau kita bersungguh-sungguh mendesak dan bertegas untuk melangsungkan akad nikah di
dalam masjid, lama kelamaan ia akan menjadi perkara yang di sukai oleh manusia dan akan menjadi
perkara yang biasa. Sebagaimana fesyen pakaian Islam menjadi lumrah dan disukai oleh manusia.
Sesungguhnya itulah pertentangan di antara kemuliaan dan kehinaan. Kalau kita berpegang teguh
dengan kemuliaan dan adab-adab Islam, kita akan berjaya menegakkan dan menanamkan
keperibadian Islam yang kita cita-citakan ke atas manusia.
19.3 Kebahagiaan Rumahtangga Yang di Cita-citakan
Apabila telah selesai pemilihan yang berasaskan agama, sempurnalah langkah-langkah yang
menuju ke alam perkahwinan sesuai dengan ajaran Islam.
Mulalah kita membangunkan rumahtangga muslim di atas asas yang teguh yang akan
merealisasikan kemantapan, ketenangan dan kebahagiaan yang sejati yang selama ini dicari-cari
oleh beberapa banyak keluarga pada zaman ini. Kebahagiaan itu bukan dari luar diri. Tidak pula
dapat dicari dengan harta, tempat kediaman, pakaian dan perhiasan rumah. Tetapi kebahagiaan itu
diperolehi dari dalam diri sendiri, dari ketakwaan kepada Allah. Kerana Allahlah yang
mengurniakan kebahagiaan yang memberi mawaddah dan rahmah cinta dan kasih sayang di antara
suami isteri. Benarlah Allah yang Maha Agung yang telah berfirman:
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu
sendiri, supaya kamu cendurung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikannya di antaramu kasih dan
sayang". Ar-Rum: 21
Kita tidak memandang kebahagiaan itu pada harta yang banyak, tetapi orang yang bertakwa
itulah orang yang berbahagia.
19.4 Perkahwinan Itu Ibadat
Risalah dan tugas kita di dalam hidup ini ialah beribadat kepada Allah Taala. Oleh itu, kita
mestilah berusaha menjadikan segala urusan hidup kita sebagai ibadat kepada Allah s.w.t. Kita
jadikan seluruh kehidupan hidup sebagai alat untuk menghampirkan diri kepada Allah. Kita
gunakan hidup kita dengan segala kemudahan yang ada untuk menolong kita beribadat kepada
Allah. Kerjaya, perkahwinan, pendidikan anak-anak dan Iain-lain perkara yang merangkumi segala
kegiatan hidup kita semuanya itu merupakan ibadat kerana Allah untuk menghampirkan diri
kepada Allah asalkan ia dilakukan kerana mengharapkan keredhaan Allah dan menjauhi
kemurkaanNya.
Oleh itu putera puteri Islam mestilah menganggap urusan perkahwinan mereka sebagai
ibadah mereka kepada Allah apabila diurus menurut hukum Allah. Kedua-dua pihak mengharap
keredhaan dan ganjaran Allah. Oleh kerana itu kedua belah pihak mestilah mengetahui ajaran-ajaran
dan adab-adab Islam, hak-hak dan tanggungjawab suami isteri, rumahtangga dan keluarga,
bersungguh-sungguh melaksanakan tugas masing-masing dan beriltizam dengan adab-adab itu.
Tolong menolong ke arah kebaikan, menuju takwa dan ke arah mentaati Allah di dalam pergaulan
mereka. Saling menghargai, saling menghormati dan berkasih sayang di antara keduanya semuanya
itu mesti diatur menurut syariat Islam. Benarlah Rasulullah s.a.w. tatkala baginda bersabda yang
bermaksud:
"Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia
sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia
merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah
malam itu lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air ke
mukanya" (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih)
19.5 Perkahwinan Itu Saling Percaya Mempercayai
Apabila telah wujud suasana saling percaya mempercayai cinta-mencintai di antara suami
isteri, lahirlah kebahagiaan dan kepuasan jiwa di dalam rumahtangga mereka. Rumahtangga mereka
menjadi rumahtangga muslim yang bahagia dalam kebahagiaan yang sejati selagi ianya diatur menurut peraturan syariat Islam. Hapuslah segala prasangka, hilanglah segala keraguan. Tiada lagi
kata mengata, tuduh-menuduh dan kepura-puraan. Kebahagiaan yang sedemikian rupa tidak akan
wujud kecuali di bawah naungan takwa kepada Allah dan mencintai Allah di waktu terang dan
rahsia, di waktu tersembunyi dan waktu dilihat. Lantara itu, tenteramlah jiwa suami dan berpuas
hati kepada isterinya dan yakinlah ia bahawa isterinya hanyalah untuk dirinya sendiri sahaja, yang
memelihara diri walau berapa lama pun dia terpisah dari isterinya. Demikian juga sikap isterinya
terhadap suaminya dibaluti dengan sepenuh kepercayaan itu. Di dalam suasana bahagia yang
demikian, syaitan dari bangsa jin dan manusia tidak mempunyai jalan untuk mengganggu dan
mengoda keduanya.
19.6 Perkahwinan Sebagai Syarikat Yang Dipimpin oleh Suami
Apabila kehidupan rumahtangga suami isteri dibangunkan di atas dasar kerjasama, di atas
syura, tolong-menolong, cinta-mencintai, di bawah pimpinan suami sebagai pihak yang
bertanggungjawab, yang mempunyai kata dan kuasa pemutus, inilah yang mendorong
melahirkankejmantapan, keteguhan, kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga dan keluarga yang
selama ini diimpikan dan diidamkan oleh manusia di seluruh dunia. Jika masih terdapat
kepincangan di dalam pertimbangan ini, maka tidak akan wujud satu kemantapan dan kebahagiaan.
Benarlah Allah Taala di dalam firmanNya:
"Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang maaruf.
Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya". Al-Baqarah: 228
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah lebih melebihkan sebahagiaan
mereka (lelaki) atas sebahagiaan yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian
dari harta mereka". An-Nisa': 34
Lantaran itu sempurnalah penntadbiran urusan rumahtangga dan pertimbangannya di
dalam suasana penuh kerjasama, tanggungjawab dan syura di dalam batas-batas ajaran Islam. Tidak
lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam rasa Qana’ah (berpuas hati
dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Jannatunna'im. Lihatlah
rumahtangga Rasulullah s.a.w. kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya
tidak berasap kerana tiada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya,
rumahtangga Rasulullah s.a.w. tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada
tolok bandingnya hingga hari ini.
19.7 Perkahwinan Adalah Tanggungjawab dan Amanah
Suami isteri mestilah menyedari dan merasai bahawa mereka memikul amanah dan
tanggungjawab. Setiap orang dari kamu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap
rakyatnya. Oleh itu, hendaklah kamu bertakwa kepada Allah di dalam perkara yang
dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada kamu. Benarlah Allah yang berfirman:
"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan
bakarnya adalah manusia dan batu". AtTahrim:6
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang
paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya".
Kita sentiasa memerlukan pertimbangan yang waras demi pemeliharaan itu, sebagai contoh,
kita biasa memberi perhatian yang berlebihan apabila salah seorang dari anggota keluarga kita jatuh
sakit. Tetapi perhatian yang sewajarnya tidak diberikan terhadap salah seorang anggota keluarga
yang mencuaikan hak Allah atau menyalahi ajaran Islam, padahal itulah yang paling utama
diperhatikan dan diubati.
19.8 Rumahtangga Muslim Merupakan Risalah
Sebagaimana kita menghendaki bentuk yang benar dan hidup bagai Islam dan seorang
muslim yang benar akidahnya, yang benar ibadatnya, yang benar akhlaknya, yang benar sikap dan
yang benar segala tindak tanduk dan perkataannya, demikian juga kita menghendaki rumahtangga
muslim itu supaya menjadi pusat perlaksanaan segenap ajaran Islam di dalam hidup berkeluarga
dengan perlaksanaan yang selamat sejahtera dan teliti. Kita ingin melihat suami muslim yang
memikul tanggungjawab terhadap rumahtangganya menurut ketentuan Islam. Kita mahu melihat
bapa muslim yang memelihara anak-anaknya dengan adab-adab Islam, memberi kefahaman Islam
yang sejati kepada mereka dan mengawasi mereka pada setiap peringkat hidup mereka. Kita mahu
melihat isteri muslimah yang menjadikan rumahtangga sebagai taman sari yang memuaskan dan menggembirakan suaminya.
Di dalamnya terdapat hiburan dan keberkatan jauh dari kepayahan dan penat lelah
perjuangan dan menolong suaminya mentaati Allah Taala. Alangkah indah dan hebatnya kata-kata
yang diucapkan oleh seorang isteri kepada suaminya tatkala dia keluar dari rumahnya di waktu
pagi: "Bertakwalah kepada Allah di dalam urusan kami dan janganlah kekanda memberi kami
makanan kecuali yang halal dan baik-baik sahaja".
Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim ini, ibu muslim yang memelihara anakanak
dan membentuk mereka menurut acuan Islam kerana dialah yang sentiasa berdamping dengan
mereka. Inilah risalah, amanah dan tugas para wanita dan isteri yang paling penting yang selama ini
cuba dihapuskan oleh musuh-musuh manusia. Mereka cuba menyelewengkan fakta-fakta ini dari
para isteri dengan berbagai-bagai pembohongan dan penipuan dengan tujuan untuk merobohkan
bangunan masyarakat.
Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim itu, putera puteri Islam yang sejati yang
memperhambakan diri mereka kepada Tuhan. Mereka mentaati Allah, berbuat baik dan berjasa
kepada ibu bapa. Mereka bergaul dengan sahabat-sahabat mereka menurut adab-adab Islam dan
tidak lahir dari mulut sepatah perkataan dan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan Islam.
Kita mengingini rumahtangga muslim yang memelihara hubungan silaturrahim, yang sentiasa
mengambil berat urusan kerabat dan menyempurnakan hak-hak mereka. Kita mahu melihat
rumahtangga dan keluarga muslim menjadi satu bentuk yang ulung di mana Islam telah terpahat
kukuh di dalam diri mereka. Mereka bergaul baik dengan khadam mereka, di mana khadam mereka
makan apa yang mereka makan dan berpakaian seperti apa yang mereka pakai dan tidak
membebankan sesuatu bebanan di luar kemampuannya. Apabila mereka membebankan sesuatu di
luar kemampuannya, mereka menolongnya.
Kita ingin melihat dari rumahtangga muslim itu satu bentu yang unik sebagaimana yang
telah digariskan oleh Islam tentang berbuat baik di dalam bermuamalah dengan jiran. Mereka
menyempurnakan hak jiran sebagaimana peranan Rasulullah s.a.w.
Kita menghendaki rumahtangga muslim yang melahirkan contoh teladan yang baik dalam
setiap aspek kehjdupan. Dengan fesyen pakaian yang Islamik, makanan dan minuman yang halal,
akhlak yang mulia, sikap yang Islamik, gaya yang Islamik dalam setiap adat dan tradisi, di waktu
suka dan duka. Mereka menjauhi segala unsur-unsur jahiliah dan budaya jahiliah yang diimport
dari luar. Kita tidak mahu melihat dari golongan sahib-ad-dakwah yang menyeru manusia kepada
Allah, yang berjalan di atas jalan dakwah, melakukan sebarang kecuaian atau kelalaian di dalam
melahirkan serta membina anggota-anggota keluarganya dengan ajaran Islam di dalam sebarang
lapangan kehidupan keluarganya. Sesungguhnya orang yang lemah dalam memimpin
rumahtangganya tidak akan mampu memimpin orang lain apatah lagi rumahtangga orang lain.
19.9 Rumahtangga Muslim Sebagai Markas Memancarnya Cahaya
Rumahtangga muslim yang sejati menurut tabiat dan lojiknya mesti menjadi pusat dakwah
Islam. Setiap anggota keluarga yang akil baligh wajib menjadi sahibud-dakwah, pendokong
dakwah, menyeru rumahtangga dan keluarga sekitarnya kepada Allah dengan penuh kesabaran,
dengan hikmah dan nasihat yang baik. Isteri yang solehah mampu menarik hati jiran-jiran dengan
dakwah kepada Allah. Kehadiran mereka merubah majlis-majlis yang dikuasai oleh umpatmengumpat
dan sia-sia menjadi majlis-majlis ilmu dan pelajaran dan ke arah memahami urusan
agama.
Bidang dakwah Islam sangat memerlukan saudari muslimat yang menyeru manusia kepada
Allah, supaya memainkan peranannya di kalangan puteri bangsanya. Sesungguhnya wanita hari ini
kecuali yang telah mendapat taufik Allah telah dijadikan boneka oleh musuh-musuh Islam untuk
meruntuhkan dirinya dan memusnahkan orang lain. Tetapi kita hendaklah menjadikannya sebagai
wanita solehah yang turut bersama kita untuk memperbaiki yang rosak dan membangunkan yang
maaruf dan merobohkan yang mungkar serta menghapuskan yang batil, menyokong kemuliaan dan
memerangi kehinaan.
Kita menghendaki rumahtangga muslim sebagai rumah api yang memberi panduan dan
petunjuk kepada orang-orang yang bingung dan sesat di sekitarnya. la menghapuskan dan
memusnahkan segala kegelapan di sekelilingnya serta menyinari jalannya untuk dilalui oleh
mereka. Dengan bertambahnya rumah-rumah muslim seperti ini akan bersambung-sambunglah
daerah-daerah nur dan cahaya dan bercantum di antara satu sama lain sehingga mampu menyinari
masyarakat. Maka dengan demikian keperibadian Islam mampu menyinari masyarakat dan
memimpinnya di bawah naungan Islam. Lantaran itu kemuliaan mudah dikembang-biakkan dan kejahatan mudah dihapuskan. Barulah mudah dibentuk dasar dan asas keimanan yang bersih dan
mantap sebagai asas bangunan Islam dan pemerintahan Islam seterusnya kerajaan Islam yang
global.
Untuk itu, saudara saudari putera puteri Islam harus dan patut bersungguh-sungguh dan
bersegera membangunkan rumahtangga muslim yang ideal yang menjadi model Islam yang sejati
untuk menjadi contoh teladan kepada generasi baharu. Ini adalah satu langkah yang penting dan
asasi di jalan dakwah Islam. Mohonlah pertolongan dari Allah supaya Allah mudahkan dan jangan
menyusahkan.
Wabillah hi taufik-wal-hidayah.

KATA MEREKA

Kontak Gema Dakwah : tarqiyahonline@gmail.com

Lebih baru Lebih lama