picture

Penjelasan Umum Mengenai Jalan Ini

Dakwah Ikhwanul Muslimin merupakan satu suara dakwah dari siri dakwah dan seruan Rasullah
s.a.w. yang pertama, yang tersemat kukuh di hati mukminin dan berulang kali menjadi sebutan di
lidah mereka. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menanam keimanan di hati umat Islam
supaya mengamalkannya dalam setiap kegiatan hidup mereka, supaya hati-hati mereka berpadu di
atasnya. Sekiranya mereka dapat berbuat demikian Allah akan menolong dan membantu mereka
serta menunjukkan mereka jalan yang benar dan lurus. Marilah kita beriman dan beramal. Marilah
kita berkasih sayang dan bersaudara.
Hala Tuju: Inilah setinggi-tinggi hala tuju yang kita harus berusaha kepadanya. Lantaran itu,
Allahlah tujuan kita. Tidak ada suatu yang kita tuju kecuali Allah. Kita beriman kepadaNya. Kita
melihat segala sesuatu untuk Dia di dalam hidup kita. Kita beribadah kepadaNya dengan sepenuh
hati. Kita mencari keredhaanNya dalam setiap usaha kita dari sekecil-kecil perkara hingga kepada
sebesar-besarnya dalam setiap kegiatan hidup kita dengan penuh ketulusan dan keikhlasan yang
sempurna serta benar-benar yakin bahawa disitulah terletaknya kebahagiaan yang sejati, hidayah
yang hakiki dan kejayaan yang sebenar.
"Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata
dari Allah untukmu " AzZaariyat: 50
Tugas dan Kepentingannya adalah besar dan agung iaitu memimpin dunia, mengajar seluruh
manusia kepada sistem Islam, cara hidup Islam dan ajaran yang baik di mana manusia tidak
mungkin bahagia tanpanya. Tugas ini bukan tugas juz 'iah, bukan separuh-separuh dan bukan
sebahagian-bahagian. Bukan hanya untuk mencapai tujuan-tujuan terbatas di dalam jurusan politik,
sosial dan ekonomi sahaja. Bukan juga hanya untuk satu tempat atau satu daerah tertentu. Bukan
juga terbatas kepada satu bangsa dan tanahair yang tertentu. Tetapi ia satu tugas agung yang
meliputi setiap aspek kehidupan demi kebaikan yang paling sempurna dan paling bahagia kepada
seluruh manusia dan manusia sejagat, bahkan bagi seluruh makhluk Allah kerana sesungguhnya
Rasullah itu diutus untuk membawa rahmat ke seluruh alam.
Balasannya sangatlah besar. Selain daripadanya adalah kecil belaka. Segala yang ada dalam
kehidupan kita di dunia, semua nikmat, harta benda, kekuasaan, kesenangan dan kemewahan
semuanya kecil belaka. Balasannya di sana adalah syurga yang seluas langit dan bumi. Di dalamnya
disediakan apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak
pernah terlintas oleh fikiran. Di sana kita akan bersama dengan para anbiya', para siddiqin, para
syuhada' dan para salihin kerana merekalah sebaik-baik sahabat. Kita akan terselamat dari azab
neraka yang bahan bakarnya terdiri dari batu dan manusia. Kemuncak dari itu semua ialah
'keredhaan Allah'.
"Dan keredhaan Allah adalah lebih benar, itu adalah keberuntungan yang besar.” At Taubah :72
1.1 Tabiat Jalan Dakwah:
"Aliif Laam Miim. Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan kami telah
beriman sedangkan mereka tidak diuji. Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka.
Lantaran itu Allah mesti mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta”. Al-Ankabut:
1-3
Jalan dakwah tidak ditaburi dengan bunga-bunga, tetapi merupakan satu jalan yang susah dan
panjang. Kerana sesungguhnya antara yang hak dengan batil ada pertentangan yang nyata. Ia
memerlukan kesabaran dan ketekunan memikul bebanan yang berat. Ia memerlukan kemurahan
hati, pemberian dan pengorbanan tanpa mengharapkan hasil yang segera tanpa putus asa dan
putus harapan. Yang diperlukan ialah usaha dan kerja yang berterusan dan hasilnya terserah kepada
Allah di waktu yang dikehendakiNya.
Mungkin anda tidak akan dapat melihat natijah serta hasilnya ketika anda masih hidup.
Sesungguhnya kita hanya disuruh beramal dan berusaha, tidak disuruh melihat hasil dan buahnya.
Sesungguhnya apa yang akan ditemui oleh para duat di jalan Allah adalah gangguan dan tekanan
dari golongan taghut dan musuh-musuh Allah yang mahu menghapuskan mereka, memusnahkan
dakwah mereka atau menghalang mereka dari berdakwah. Itu adalah lumrah yang telah berlaku
berulang kali di zaman ini. Semuanya didorong oleh rasa takut golongan taghut. Mereka takut kuasa
mereka yang berdiri di atas dasar kebatilan akan musnah apabila yang hak bangun dan tegak untuk
menghapuskan kebatilan.
"Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil, lalu yang hak itu menghancurkannya, maka
dengan serta merta yang batil itu lenyap."Al-Anbiyaa': 18
Bagi menghalakan terkaman dan cengkaman kuku besi mereka ke atas dakwah al-hak dan para
pendokong dakwah, mereka terlebih dahulu akan mereka-reka pelbagai tuduhan yang paling keji
dan dusta itu kemudianya dilemparkan kepada para pendokong dakwah. Mereka gambarkan
kepada manusia bahawa para pendokong dakwah adalah musuh negara dan musuh orang ramai
supaya orang ramai bangun menentang mereka seperti apa yang dilakukan oleh Firaun dan para
pembesarnya terhadap Nabi Musa.
"Dan berkatalah Firaun (kepada pembesar-pembesarnya): Biarlah aku membunuh Musa dan hendaklah dia
memohon kepada Tuhannya, kerana sesungguhnya aku khuatir dia akan menukar agamamu atau
menimbulkan kerosakan dimuka bumi".Al-Mukmin: 26
Subhanallah, Maha Suci Allah. Demikianlah sikap Firaun dan pembesar-pembesarnya, sikap
pengikut-pengikut Firaun di zaman itu ataupun di zaman ini. Nabi Musa dituduh sebagai perosak
dan Firaun dianggap sebagai pembela bangsa dan memelihara kepentingannya. Pembesar-pembesar
Firaun menghasut Firaun supaya menentang Musa dan kaumnya serta menakut-nakutkan Firaun
akan perbuatan Musa. Lalu Firaun menenangkan fikiran mereka dengan menyatakan bahawa dia
akan mengawasi Musa:
"Berkatalah pembesar-pembesar dari kaum Firaun (kepada Firaun): Apakah kamu akan membiarkan Musa dan
kaumnya untuk membuat kerosakan di negeri ini (Mesir) dan meninggalkan kamu serta tuhan-tuhanmu?.
Firaun menjawab : Akan kita bunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan
mereka, sesungguhnya kita berkuasa penuh ke atas mereka". Al-A'raaf: 127
1.2 Balasan Baik Bagi Orang-orang Yang Bertakwa:
Namun, semua itu tidak melemahkan iman Musa dan kaumnya. Musa mewasiatkan kepada mereka
supaya bersabar dan memohon pertolongan dari Allah s.w.t. dan menggembirakan mereka serta
menenangkan hati mereka dengan mengingatkan bahawa bumi ini kepunyaan Allah. Dia pasti akan
mempusakakannya kepada hamba-hambanya yang bertakwa.
"Musa berkata kepada kaumnya: Mohonlah pertolongan dari Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini
kepunyaan Allah, dipuskakannya kepada sesiapa yang dikhendakiNya dari hamba-hambaNya. Dan kesudahan
yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa" AlA'raaf: 128
Jadi jalan dakwah, walau bagaimana pun susahnya, deritanya dan pahit akibatnya, tetapi terjamin
hasilnya.
"Kami selalu berkewajipan menolong orang-orang yang beriman " Ar-Rum: 17
1.3 Inilah Marhalah (Peringkat) Dari Jalan Dakwah
Islam di Timur telah berjalan di atas dakwah Islam, telah membangun satu kebudayaan yang tiada
tolok bandingnya, kemudian tidur nyenyak lalu kehilangan mutiara dakwah di dalam hidup
manusia. Lantaran itu mereka kehilangan segala kekuasaan dan segala kehebatannya. Bumi mereka
telah dijajah oleh bangsa-bangsa jahiliah. Kekayaan mereka telah dirampas dan dirompak. Jihad dan
perundangan Islam telah disembunyikan. Lebih dari itu, akhlak Islam telah disorokkan. Hancur
berderailah segala kemuliaan lalu diganti dengan ananiah (individualistik) dan kekacauan.
Mudahlah kekufuran dan keingkaran mengambil jalannya tanpa rintangan dan halangan. Tetapi
Allah Taala yang Maha Suci telah menyediakan sebab musabab untuk kebangkitan Islam di Timur
itu dari lena, kebangkitan Islam yang baru di zaman baru ini.
Dalam kebangkitan arus Islam yang kuat ini maka lahirlah 'Jamaah Ikhwanul Muslimin' dan
beberapa jamaah Islam di seluruh dunia terutamanya di dunia Islam. Imam As-Syahid Hassan Al-
Banna dengan Ikhwanul Muslimin melalui jalan yang telah dilalui Rasulullah s.a.w. Alangkah
banyaknya persamaan di antara marhalah-marhalah dakwah yang dihayati oleh Islam di zaman
sekarang dengan marhalah permulaan dakwah Islam di zaman Rasulullah s.a.w.
Islam telah menjadi asing dan dagang dan jahiliah terus berleluasa. Para pendokong dakwah
ditindas, diperkotak-katikkan serta dikepung dari segenap penjuru untuk dihancur leburkan.
Samalah keadaannya dahulu di mana musuh-musuh dakwah Islam dipimpin oleh golongan
musyrikin di Semenanjung Tanah Arab, para penyembah api di negara besar seperti Parsi (Iran) di
sebelah Timur dan kerajaan raksaksa Romawi di sebelah Barat bersama Yahudi.
Demikian juga halnya musuh-musuh dakwah Islam di hari ini yang dipimpin oleh golongan
komunis di sebelah Timur dan golongan Kristian dan Zionism dari negara sebelah Barat yang
sekular. Jahiliah moden ini disertai pula oleh boneka-boneka dari kalangan muslimin yang telah
diracuni hati dan fikiran mereka oleh jahiliah moden. Malah mereka lebih kejam dan lebih sesat dari
jahiliah di zaman permulaan dakwah Islam di zaman Muhammad s.a.w.
Ini semua memberi peringatan kepada kita bahawa muslimin di zaman Rasulullah s.a.w itu sentiasa
bertahan dan bersabar sehinggalah Allah menolong mereka, menghina para pendokong syirik, kufur
dan jahiliah serta mengalahkan mereka. Lalu berkibar dan berkuasalah kalamullah. Jatuh dan
lemahlah kalimah kufur.
Demikianlah yang kita harapkan dan kepadanyalah kita berusaha InsyaAllah. Sesungguhnya kita
akan melihat kebangkitan dakwah Islam setelah ia menurun. Pada masa yang sama, budaya
materialistik dan jahiliah mula menurun setelah naik. Tanda-tanda yang nyata menjelma di dalam
kesedaran Islam yang baru, yang mengambil tempat di hati umat Islam seluruhnya, terutamanya di
kalangan pemuda-pemudi Islam. Kebangkitan Islam kembali semula dan arus dakwah Islam
menjalar di kalangan generasi baru di kalangan putera-puteri Islam untuk menghayati Islam dengan
minat yang sungguh-sungguh dan benar di dalam usaha-usaha Islam, dengan Islam dan untuk
Islam. Tanda-tanda keruntuhan budaya jahiliah yang kafir itu semakin nyata dan terang apabila kita
memerhatikan bagaimana gelombang keruntuhan akhlak melanda pemuda-pemuda para
pendokong budaya kebendaan yang jahiliah itu.
Ini adalah merupakan berita baik dan menggembirakan di mana peralihan pimpinan manusia akan
berlaku. Pimpinan jahiliah yang bertuhankan manusia akan tamat dan pimpinan dunia akan
dikembalikan kepada Islam sekali lagi. Daulah Islam sejagat akan bangkit kembali dengan izin Allah
Taala yang Maha Kuasa supaya dunia berbahagia dengan agama yang hakiki dan lurus itu.
1.4 Wasilah dan Langkah-langkah:
Wasilah-dan langkah-langkah umum dalam dakwah tidak berubah, tidak bertukar ganti dan tidak
melampui tiga perkara ini:-
1) Iman yang amiq; (Iman yang mendalam.)
2) Takwin daqiq; (Pembentukan yang rapi dan teliti)
3) Amal mutawasil; (usaha dan amal yang berterusan).
Dengan wasilah-wasilah inilah, amal dan usaha yang berterusan tetapi beransur-ansur mewujudkan
serta membentuk individu, rumahtangga dan masyarakat yang muslim. Dari situ dapatlah
disediakan dasar dan asas Islam yang teguh dan kuat untuk menegakkan pemerintahan Islam
(daulah Islam) di sebuah negara umat Islam lalu dicantumkan dengan daulah-daulah Islam di
seluruh dunia untuk membangunkan daulah Islam sedunia iaitu kerajaan Islam yang merangkumi
seluruh dunia Islam yang bersatu di bawah satu Khilafah Islamiah. Ia bertanggungjawab untuk
memimpin seluruh dunia, menjadi guru dunia dan mengarahkan perjalanannya demi kebahagiaan
seluruh manusia dengan ayat-ayat Allah sehingga tiada lagi fitnah dan agama itu seluruhnya hanya
untuk Allah.
"Sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah belaka " Al-Baqarah: 193
Sebagaimana berjalannya wasail iman, takwin, pembentukan dan amal usaha itu, berganding bahu
antara satu sama lain, begitu jugalah setiap langkah awal dalam penyediaan ke arah pembentukan
individu muslim, pembangunan rumahtangga-rumahtangga Islam dan penyebaran dakwah Islam di
tengah-tengah masyarakat manusia, semuanya mestilah berjalan serentak dan berganding bahu.
Melalui jalan dakwah, tidak sah dan tidak benar kalau kita mengambil jalan ringkas lalu kita
menghadkan wasilah dan langkah-langkah kita atau kita mengambil sebahagian dengan anggapan
bahawa yang sebahagian itu sudah memenuhi tujuan kita dan dapat menyempurnakan tugas kita.
Sesungguhnya tidak ada iman tanpa amal dan pembentukan. Tidak ada masyarakat tanpa anggota
yang muslim dan rumahtangga-rumahtangga Islam. Merekalah tiang-tiang yang akan
membangunkan pemerintahan Islam.
Sebarang kecuaian atau kegopohan di dalam mengukuhkan dasar dan memancangkan asas-asas
yang teguh dan tiang-tiang yang kuat itu merupakan satu tindakan yang membahayakan, yang
mungkin membawa kepada keadaan yang terbalik atau songsang. Setiap waktu dan usaha yang
dicurahkan untuk meletakkan asas sebuah bangunan tidak boleh dianggap sia-sia dan tidak boleh
dihentikan selagi belum nampak sebarang hasil di permukaan bumi, kerana bangunan yang besar
memerlukan waktu yang panjang dan usaha yang gigih untuk menyiapkan asas dan konkritnya.
Adakah di sana sesuatu yang lebih besar dari usaha membangunkan daulah Islam sedunia yang
mampu memimpin dunia memandu seluruh manusia kepada nur dan cahaya Islam yang sempurna
dan menyempurnakan itu ?.
Alangkah indahnya apa yang dikatakan oleh Imam as-Syahid Hassan Al-Banna tatkala beliau
mengarahkan ucapannya kepada golongan yang gopoh, yang cepat ingin memetik buah dakwah
sebelum masak;
"Hai Ikhwanul muslimin terutama yang gopoh dari kamu. Dengarkanlah daripadaku satu kalimah
yang tinggi yang berkumandang dari atas mimbar ini di dalam muktamar umum ini. Sesungguhnya jalan
kamu ini adalah yang telah digariskan langkah-langkahnya, ditentukan batas-batasnya dan aku tidak mahu
melanggar batas-batas itu. Aku telah yakin dengannya. Keyakinan yang sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan
yang paling selamat untuk mencapai tujuannya.
Ya... boleh jadi ia satu jalan yang panjang, tetapi di sana tidak ada jalan lain selain itu. Sifat kelakian
tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang serius dan
berterusan. Barangsiapa dari kalangan kamu yang hendak cepat dan gopoh memetik buah sebelum masak atau
hendak memetik hasil sebelum masanya, maka aku tidak bersama dengannya sama sekali dan lebih baik baginya
meninggalkan dakwah ini dan carilah dakwah yang lain. Barangsiapa yang bersabar bersama aku sehingga
berkembang dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya sehingga tiba waktunya untuk
dipetik dan diambil, maka ganjarannya terserahlah kepada Allah semata-mata. Kita dan dia tidak boleh lari dari
dua kebaikan ini. Sama ada kita menang dan berkuasa atau mati syahid dan berbahagia".

KATA MEREKA

Kontak Gema Dakwah : tarqiyahonline@gmail.com

Lebih baru Lebih lama